RUMAH TRADISIONAL MELAKA YANG 90% HAMPIR SIAP
Rumah Melaka
Rumah ini mempunyai reka bentuk ringkas dan mengandungi fungsi ruang secara asas, menunjukkan kesederhanaan pemiliknya. Reka bentuk rumah ini mengandungi serambi, rumah ibu, selang dan rumah dapur. Secara asas pelan rumah ini menyamai rumah kutai negeri Perak, perbezaannya terdapat serambi di bahagian hadapan rumah ini. Serambi adalah tempat berehat dan mengambil angin, melayan tamu dan meninjau aktiviti di hadapan rumah.
Keseluruhan dinding rumah diperbuat
daripada kayu, kecuali di bahagian dapur yang mempunyai dinding pelupuh.
Bahagian atap rumah ini dibuka sedikit untuk membenarkan pengudaraan
masuk ke dalam rumah. Bahagian selang rumah pula didinding, berbeza
dengan rumah kutai Perak. Rumah ini mempunyai tebar layar bermotif bunga
dan papan pemuka yang berkerawang ringkas. Kayu jerejak di serambi juga
mempunyai ukiran yang ringkas sesuai dengan konteks kesederhanaan rumah
ini.
Lazimnya rumah ini dimiliki oleh orang
kebiasaan, maka reka bentuk rumah ini terhad kepada fungsi asas iaitu
mengandungi rumah ibu, rumah dapur dan serambi.Rumah dapur mempunyai
pintu masuk di sebelah sisi belakang, memudahkan kaum wanita bertandang.
Keseluruhan rumah adalah diperbuat daripada kayu meranti
Rumah ibu mempunyai bumbung dan lantai
yang tinggi. Ia turut menempatkan sebuah ruang terbuka yang luas.
Kebiasaan tidak terdapat bilik di sini, tetapi keluasan ruang ini boleh
menempatkan sehingga dua bilik. Rumah ibu dihubungkan oleh selang yang
lebih terbuka. Selang mempunyai ketinggian yang sedikit rendah dari aras
rumah ibu dan rumah dapur serta mempunyai dinding. Rumah dapur
menempatkan segala peralatan memasak dan ruang makan. Ia dihubungkan
oleh selang untuk ke rumah ibu. Di penghujung rumah dapur terdapat
pelantar yang berfungsi sebagai tempat penyediaan makanan dan ruang
meletak hasil yang diperolehi dari kebun atau sungai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan