PENGENALAN

 Ruang rumah Melayu pada zaman dahulu biasanya tidak berbilik kerana masyarakat Melayu pada masa itu mementingkan perjumpaan atau berkumpul secara beramai-ramai untuk majlis keramaian dan juga upacara keagamaan.Secara terperinci, ruang-ruang yang terdapat pada rumah Melayu tradisional ialah anjung atau sorong serambi, selasar, rumah ibu, bilik, serambi dalam, dapur, pelantar atau lambur dan jemuran serta ruang bawah rumah.


 

Dari sudut rekabentuk, rumah Melayu boleh dikatakan amat canggih dan memuatkan ciri- ciri bestari, lagi kena dengan gaya hidup selesa mengikut adat dan alam.Ciri-ciri pintar ini termasuklah penyejukan atau pengudaraan semulajadi (natural ventilation), peneduhan (shading), keselamatan dan keamanan (safety and security) serta ‘kepersendirian’ (privacy).Contohnya sifat paling ketara pada rumah tradisi Melayu ialah ianya didirikan atas tiang. Pelbagai kelebihan muncul dari ‘keterapungan’ ini termasuklah mengelakkan dari mudah masuknya binatang liar, serta terangkat dari aras banjir.
Rumah juga lebih sejuk akibat pengudaraan pada semua bahagian (dari atas, tepi-tepi dan bawah). Selain itu, ruang kosong di bawah rumah ada juga menyebut ‘polong’ iaitu menjadi tempat yang sesuai untuk menyimpan segala macam barang perkakas.Rumah tradisi yang memang terangkat atas tiang bagi menambah pengudaraan itu juga ada pelbagai gaya tingkap, termasuk jenis tingkap sependiri seperti ‘French window’, guna untuk masuk angin dan cahaya.
Dengan adanya berbagai keping ukiran berlubang di dinding bukan saja sebagai perhiasan, tapi juga bagi menggalakkan udara dan cahaya masuk menceriakan rumah. Ukiran-ukiran pada rumah Melayu berunsur corak geometrik atau tumbuhan (tiada corak fauna hidupan kerana larangan agama), dan banyak yang amat halus pengukirannya.
Terdapat pelbagai variasi tingkap rumah Melayu mengikut citarasa dan kepandaian tukang- tukang rumah dahulu. Tingkap-tingkap mendominasi tampak dari segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya kepada rumah.
Tingkap dan kekisi rumah Melayu

Kebanyakan tingkap adalah dari jenis yang bukaannya ke luar dan mempunyai kayu kekisi di bahagian bawah tingkap sebagai peredaran udara keluar dan masuk dan juga berfungsi sebagai palang keselamatan bagi anak- anak kecil. Selain itu bahagian tingkap juga tidak terlepas dari hasil kerja tangan yang halus dengan adanya ukiran-ukiran dari jenis tebuk timbul yang mempunyai motif flora dan geometri yang pelbagai.Semua negeri di Malaysia terdiri dari rumah bumbung tetapi selepas kedatagan penjajah ia berubah bentuk kepada bentuk limas dan bumbung Belanda.
Bumbung rumah Melayu sentiasa jenis condong untuk kesesuaian cuaca hujan panas tropika. Bagi bahan penutup bumbung tradisi, yakni anyaman pelepah daun seperti nipah ataupun bumbung genting tanah liat seperti yang dipanggil genting ‘Senggora’ di Pantai Timur Semenanjung Melayu, juga memainkan peranan menyejukkan rumah. Malangnya sekarang ini kepingan zink lebih disukai-ramai kerana ianya murah dan senang dipasang, tapi menyebabkan rumah lebih berbahang dan bising pula semasa hujan. Bahan yang digunakan untuk menghasilkan bumbung juga sesuai dengan cuaca dan keadaan pada masa tersebut.
Ada dua kategori utama bumbung iaitu: gaya ‘bumbung panjang’ (atap pelana) dan keduanya ‘bumbung lima’ atau ‘limas’ (atap perisai). Bumbung panjang ialah jenis yang lebih mudah, yakni hanya satu perabung membentuk bukaan segitiga di kedua- dua hujung yang membenarkan pemasangan penutup tebar layar.
‘Bumbung lima’ ialah jenis yang ada lima perabung (atau juga empat perabung bagai piramid untuk struktur ringkas seperti pondok wakaf). Lebih canggih lagi, ‘bumbung lima’ ini ditambah struktur segitiga di atasnya lalu dipanggil ‘limas’ (dari ‘lima emas’ karena suatu masa dulu hanya rumah orang berada atau pembesar yang berbumbung limas, dan mungkin mula digunakan semasa Kesultanan Johor- Riau).
Dua-dua jenis bumbung ini boleh melahirkan apa jua kombinasi bentuk bumbung yang boleh difikirkan, dan ada tempat yang mempunyai corak bumbung tersendiri seperti bumbung rumah Minangkabau Negeri Sembilan (sejenis bezaan ‘bumbung panjang’). Bumbung rumah tradisi juga pasti ada unjuran (emper/overhangs) untuk teduh dari panas dan hujan lebat.Sepanjang tepian hujung bumbung pula selalu dipasang cucur atap atau papan cantik berukir menandakan kehalusan seni masyarakat Melayu.
Sesetengah rumah pula ada bilik di dalam rongga bumbung iaitu seperti ‘attic’, kadangkala dipanggil ‘loteng’ atau ‘lenting’, manakala membuat rumah yang sedia terangkat atas tiang itu menjadi rumah tiga tingkat. Malahan telah ada istana kayu lama yang dibina setinggi lima atau enam tingkat, dengan struktur tanpa sebarang paku pun. Satu contoh indah ialah Istana Seri Menanti di Negeri Sembilan, Malaysia selain juga di Sumatera, Borneo dan Tanah Bugis, Sulawesi. Reka bentuk rumah Melayu sememangnya unik dan mempunyai nilai indentitinya yang tersendiri.
Anjung

Ruang Anjung biasa digunakan oleh kaum lelaki untuk menjalankan kerja rumah seperti mengayam pukat, jaring dan sebagainya. Anjung adalah tempat untuk berehat dan berbincang bagi kaum lelaki. Ruang ini juga ada disebut sebagai serambi. Penggunaan anjung dihadapan rumah sebagai penyambut tetamu dan halaman ruang tamu yang terang-terangan dikhususkan buat para tetamu. Selain dari memperuntukkan halaman yang luas di bahagian hadapan rumah, hiasan yang menarik sebagai daya tarikan tetamu, halaman rumah masyarakat Melayu juga lazimnya mempunyai ruang di salah satu bahagian sisi rumah sebagai tempat berkumpul atau beraktiviti. Ruangan ini berfungsi sebagai kawasan sekiranya hendak melaksanakan sesuatu majlis seperti kenduri, berpersatuan dan sebagainya.
Ibu

Rumah Ibu merupakan salah sebuah ruang dalam reka bentuk rumah Melayu yang utama. Ruang utama ini dipanggil “ Rumah Ibu” kerana bersempena menghormati peranan ibu sebagai pengurus rumah dan penyeri keluarga. Ibu juga dianggap mempunyai kedudukan yang mulia dan harus dihormati. Sesuai dengan nama dan fungsinya sebagai tempat ahli keluarga beristirehat dan bersantai bersama. Ini jelas menunjukkan masyarakat Melayu amat mementingkan ikatan silaturahim antara ahli kelurga agar bahagia dan harmoni.
Dapur

Rumah Dapur pula berfungsi sebagai tempat untuk kaum perempuan memasak dan tempat khas untuk tetamu perempuan melambangkan peranan perempuan dibelakang lelaki sesuai kedudukan dapur selepas rumah ibu. Ruang ini juga berperanan sabagai tempat khas untuk ahli keluarga berkumpul semasa makan. Orang luar tidak dibenarkan masuk sesuka hati ke ruang dapur untuk mengelakkan unsur- unsur fitnah dalam masyarakat. Ia juga sebagai tempat ibubapa menyampaikan pesanan, pandangan dana nasihat kepada ahli keluarganya. Falsafahnya adalah untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan silaturahim antara ahli keluarga dan masyarakat Melayu yang tetap memelihara hubungan kekeluargaan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan